Sabtu, 25 Jun 2011

Lihat laku sang semut...




Semut.. sejenis makhluk dalam kategori serangga yang cukup dekat dengan kehidupan manusia. Tiap-tiap hari mesti kita jumpa semut tengah merayap. Ada yang merayap sekor-sekor dia je.. ada yang merayap beramai-ramai. Semut-semut ni beratur dalam barisan mencari sumber makanan. Bila dah jumpa makanan dibawanya balik makanan tu ke sarang untuk dikongsi-kongsikan. Tersangat lah gigih semut-semut ni mencari makanan demi survival koloni mereka. Sebenarnya banyak yang kita boleh belajar daripada tingkah laku semut. Kadang-kadang kita terlepas pandang pengajaran positif yang kita boleh ambil daripada semut. Mungkin bukan sebab kita ni jarang memerhatikan tapi agaknya kerana sering diganggu dek perasaan geram bila melihat semut-semut ni menghurung makanan kita di dapur, apa yang tersirat tu tak dapat kita lihat.
Secara mudahnya.. kita dapat lihat semut ni rajin.. kuat.. dan mereka ni suka tolong-menolong sesama sendiri. Semua sifat ni positif dan kita boleh amalkan dalam kehidupan kita. Tapi ada satu lagi ciri pada semut yang ada digambarkan dalam kisah nabi dahulu yang semoleknya kita terapkan dalam kehidupan kita. Teringat satu kisah tentang Nabi Sulaiman A.S yang pernah berbicara dengan seekor semut. Lebih kurang camnilah ceritanya...
Nabi Sulaiman A.S tanya pada seekor semut berapa banyakkah makanan yang si semut tu perlukan untuk hidup dalam setahun. Semut tu kata cukuplah hanya sebiji gandum. Nabi Sulaiman pun letak semut tu dalam botol sekali ngan sebiji gandum. Nabi Sulaiman tutup botol tu selama setahun dan biar je semut tu kat dalam.
Cukup je setahun, Nabi Sulaiman pun buka botol tu dan terkejut bila hanya separuh daripada sebiji gandum tu yang habis dimakan oleh si semut. Nabi Sulaiman pun tanya lah kenapa sebab dulu si semut tu bagitau yang dia perlukan sebiji gandum sebagai bekalan hidup setahun.
Sang semut pun kata.. kalau di luar botol, rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah SWT. Dia yakin bahawa Allah akan mencukupkan rezekinya dan dia tak perlu risau apa-apa. Tapi bila dikurung oleh manusia, dia kena berhati-hati dan berjimat cermat dengan rezeki yang ada sebab dia tak yakin dengan jaminan manusia. Mana lah tahu kalau-kalau manusia yang mengurungnya terlupa sehingga lebih tempoh setahun dan sebiji gandum tu dah kehabisan. Terkejut Nabi Sulaiman lantas beristigfar kepada Allah.
Iktibar yang kita boleh ambil daripada kisah ni adalah tentang sifat tawakal dan ikhtiar si semut tu. Inilah sifat yang perlu ada dalam diri kita sebagai manusia. Dalam soal rezeki umpamanya, jangan sekali-kali kita bergantung sesama makhluk tetapi bergantunglah pada Allah SWT. Perbanyakkan tawakal kepada Allah dan seboleh-bolehnya ikhtiar menurut kemampuan serta keupayaan sendiri.
Sekarang ni pun kita sedang dilanda krisis ekonomi.. harga barang naik.. harga minyak naik dan sebagainya. Dalam tv.. dalam suratkhabar.. rakyat digalakkan berjimat cermat waktu ekonomi meleset. Padahal sepatutnya kita kena berjimat cermat tak kira situasi bukan hanya waktu kemelesetan ekonomi atau ketika harga minyak naik sahaja. Seboleh-bolehnya jangan membazir tak kira lah waktu tu ekonomi stabil atau tak. Yakin lah Allah itu maha pemberi rezeki dan ujian-ujian hidup ketika kemelesetan ekonomi ni semua setidak-tidaknya meningkatkan kebijaksanaan kita dalam menyelesaikan masalah.
Lihat lah laku sang semut dan belajarlah sifat tawakal dan ikhtiar daripada makhluk Allah yang kecil ini...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan